instagram

Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Friday, April 6, 2012

Kematian Hutan

Sang Murai tiba-tiba bertukar murung
bisu mengunci rawan yang bertandang
usai singgah mengirim pesan sang maharaja
kepada warga flora dan fauna yang lainnya
dalam kegemparan
meniti detik-detik akhir
sebelum disambar kecelakaan
tak sempat mengarang wasiat kemandirian keturunan.
“Maharaja gila”,!
“Maharaja mabuk”,! sembur sang murai
maharaja melalak di warung todi
maharaja meneguk selaut kencing iblis
maharaja raikan temasya kematian hutan
maharaja tak peduli khazanah alam meraung kesakitan.
Esok dengan tangan-tangan rakusnya, dia sendiri
bongkak mengheret jentolak-jentera pembangunan
jangan benarkan terlihat tanah sekiting pun
atas kanvas ilham kreatif arkitek-arkitek watan
handal bijak pakar
lulusan seberang benua sana.
Tunggulah sedenyut nadi lagi
pencakar-pencakar langit berdarah konkrit
tercegat pasak dan patuh
yang manakah paling angkuh?
menghiris luka di dada awan
sampai awan memuntahkan hujan asid kepedihan.
Sang maharaja asyik mencerca saja
kicauan unggas dan nyanyian mergas
dalam pertunjukan orkestra rimba
namun sang maharaja diundang juga saban fiesta
yang sepurnama sudah sepi seribu bunyi
sang maharaja asyik menyenda saja
rinduan sang Tanah Hujan Khatulistiwa
pada pelukan erat
Meranti, Chengal, Keruing dan Merbau
telah kemandulan cucu cicit.
Tamat sudah terjemahan makna metafora dan personifikasi
dalam prosa klasik dan puisi pari-pari
memuji-muji keindahan alam semulajadi
sang mentari tetap membahang sekalipun berwajah hairan
kepada perbukitan gondol di lereng sana, dia mengucap salam janggal
sambil terhendap-hendap mencari kehijauan semulajadi bumi
yang entah ke mana menghilang.
Marcapada kini
melongo panjang menangkap konklusi
ucapan sang maharaja tiap sesi perhimpunan
‘Pemanasan Global’! ‘Pemanasan Global’! ‘Pemanasan Global’!
marilah sama-sama kita tanam semula hutan kita……..


Peraduan Menulis Cerpen dan Puisi Pelajar Sekolah Menengah 2009 Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahap 2 (16-17 tahun)
Nukilan : Munirah Hasim
Puisi : Kematian Hutan (genre - Alam Sekitar)

Tuesday, March 13, 2012

Kembara

Kembara

Dalam kembara itu
aku genggam tangan kau dan dia, kita ikrar sama-sama
antara kita jangan ada prejudis dan prasangka
agar kita tidak berpecah
antara kita jangan ada tembok pemisah
agar kita tidak parah bila tembok itu rebah
cukup sekali tragedi Mei berdarah
walau asal usul, agama, dan budaya kita tidak serupa
sesungguhnya jiwa kita bersatu, saling memerlu dan melengkap
di atas tanah sejahtera Malaysia
darah aku, kau dan dia tertumpah.
Dalam kembara itu
kita jejak seluruh negara
tiap kota, desa dan rimba pertiwi kita
menyelongkar khazanah warisan nenek poyang
Pulau Pinang dengan borianya, Kelantan dengan dikir baratnya,
Melaka dengan dondang sayangnya, Johor dengan kuda kepangnya
Sabah dan Sarawak dengan kepelbagaian etnik dan kraftangannya
kita saling menyatakan kekaguman.
Dalam kembara itu
Kita bersenda bual pelbagai cerita
barangkali filem kegemaran kita,
lelaki idaman kita,
kosmetik pilihan, fesyen, telefon bimbit dan kereta,
isu pemanasan global, bencana alam, sains angkasa,
dan tentu saja rancangan masa depan kita
tapi awas!, jangan kita usik isu kiasu
agar antara kita tiada yang terguris rasa.
Dalam kembara kita yang panjang
jangan lupa pada agama dan kepercayaan
kita lalu berhenti sebentar
mohon keselamatan kita sepanjang perjalanan
kau ke tokong, dia ke kuil, aku mencari Ya Rabbi
sebelum kita sambung kelana lagi.
Dalam kembara itu
aku dan kau kenyang menikmati berkeping-keping capati
yang dia pelawa, dicicah bersama kari dal pekat
aku dan dia kata hilang segala lesu badan
bila hirup panas-panas teh ginseng yang kau bawa
kau dan dia asyik memuji kuih tradisi
yang aku sediakan untuk bekalan kita
ketayap, tepung bungkus, kuih lapis, bengkang roti dipotong rapi
Dalam kembara itu
ayuh sama-sama kita buang yang keruh jauh-jauh
kita pelihara yang jernih cuma.


Pemenang Tempat Pertama Peraduan Menulis Cerpen dan Puisi Pelajar Sekolah Menengah 2009 Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahap 1 (13-15 tahun)
Puisi :- Kembara (genre - Perpaduan)
Nukilan  : Munirah Hasim

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...