instagram

Tuesday, March 13, 2012

Kembara

Kembara

Dalam kembara itu
aku genggam tangan kau dan dia, kita ikrar sama-sama
antara kita jangan ada prejudis dan prasangka
agar kita tidak berpecah
antara kita jangan ada tembok pemisah
agar kita tidak parah bila tembok itu rebah
cukup sekali tragedi Mei berdarah
walau asal usul, agama, dan budaya kita tidak serupa
sesungguhnya jiwa kita bersatu, saling memerlu dan melengkap
di atas tanah sejahtera Malaysia
darah aku, kau dan dia tertumpah.
Dalam kembara itu
kita jejak seluruh negara
tiap kota, desa dan rimba pertiwi kita
menyelongkar khazanah warisan nenek poyang
Pulau Pinang dengan borianya, Kelantan dengan dikir baratnya,
Melaka dengan dondang sayangnya, Johor dengan kuda kepangnya
Sabah dan Sarawak dengan kepelbagaian etnik dan kraftangannya
kita saling menyatakan kekaguman.
Dalam kembara itu
Kita bersenda bual pelbagai cerita
barangkali filem kegemaran kita,
lelaki idaman kita,
kosmetik pilihan, fesyen, telefon bimbit dan kereta,
isu pemanasan global, bencana alam, sains angkasa,
dan tentu saja rancangan masa depan kita
tapi awas!, jangan kita usik isu kiasu
agar antara kita tiada yang terguris rasa.
Dalam kembara kita yang panjang
jangan lupa pada agama dan kepercayaan
kita lalu berhenti sebentar
mohon keselamatan kita sepanjang perjalanan
kau ke tokong, dia ke kuil, aku mencari Ya Rabbi
sebelum kita sambung kelana lagi.
Dalam kembara itu
aku dan kau kenyang menikmati berkeping-keping capati
yang dia pelawa, dicicah bersama kari dal pekat
aku dan dia kata hilang segala lesu badan
bila hirup panas-panas teh ginseng yang kau bawa
kau dan dia asyik memuji kuih tradisi
yang aku sediakan untuk bekalan kita
ketayap, tepung bungkus, kuih lapis, bengkang roti dipotong rapi
Dalam kembara itu
ayuh sama-sama kita buang yang keruh jauh-jauh
kita pelihara yang jernih cuma.


Pemenang Tempat Pertama Peraduan Menulis Cerpen dan Puisi Pelajar Sekolah Menengah 2009 Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahap 1 (13-15 tahun)
Puisi :- Kembara (genre - Perpaduan)
Nukilan  : Munirah Hasim

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...